Remaja Hilang Sejak April 2024 Ditemui Mati Dalam Tesla Milik Penyanyi Popular

AMERIKA SYARIKAT– Misteri kehilangan seorang remaja perempuan dari Lake Elsinore akhirnya terjawab apabila pihak berkuasa Los Angeles mengesahkan identiti mayat yang ditemui di dalam sebuah kereta Tesla milik penyanyi terkenal, d4vd. Mayat itu dikenal pasti sebagai Celeste Rivas yang berusia 15 tahun di mana dia dilaporkan hilang sejak lebih setahun lalu.
Penemuan mengejutkan ini bermula pada 8 September lalu apabila sebuah Tesla yang didaftarkan atas nama penyanyi muda berusia 19 tahun itu ditemui ditinggalkan di kawasan Hollywood Hills. Kenderaan berkenaan kemudian ditunda ke sebuah storan kenderaan berlesen setelah pihak berkuasa menerima laporan bau busuk yang kuat. Pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pekerja lot tunda menemui mayat manusia yang sudah reput di dalam bonet hadapan kereta berkenaan.
Menurut laporan rasmi Pejabat Pemeriksa Perubatan Los Angeles, Mangsa ditemui memakai baju tanpa lengan dan seluar ketat berwarna hitam. Dia juga memakai gelang rantai berwarna kuning serta sepasang anting-anting kecil. Keadaan fizikal mayat sukar dikenal pasti berikutan proses pereputan. Namun ciri penting termasuk ketinggian serta tatu kecil di jari telunjuk kanan yang tertulis perkataan “Shhh…” membantu dalam proses identifikasi. Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan identiti mayat tersebut sebagai Celeste Rivas, seorang remaja yang sebelum ini dilaporkan hilang dari Riverside County pada April 2024.

Ibu kepada Celeste dalam kenyataan kepada media mendedahkan bahawa anaknya pernah memberitahu mempunyai seorang teman lelaki bernama David. Pendedahan itu menimbulkan tanda tanya memandangkan nama sebenar penyanyi d4vd ialah David Anthony Burke. Tambahan pula, tatu pada jari Celeste dilaporkan menyerupai tatu yang dimiliki penyanyi berkenaan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan bahawa maklumat ini masih dalam siasatan dan tidak boleh dijadikan bukti kukuh buat masa ini.
Polis Los Angeles setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai siasatan kematian dan belum mengumumkan sebarang pertuduhan rasmi. Punca kematian Celeste juga masih belum ditentukan dan disenaraikan sebagai tertunda sementara menunggu hasil bedah siasat penuh serta analisis forensik tambahan.
Dalam pada itu, pihak pengurusan d4vd memaklumkan bahawa penyanyi terbabit sedang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan. Berita ini bagaimanapun tetap menimbulkan kejutan besar dalam industri hiburan kerana d4vd dikenali sebagai artis muda yang sedang meningkat naik dengan lagu-lagu popular yang mendapat jutaan penstriman.
Catat Ulasan for "Remaja Hilang Sejak April 2024 Ditemui Mati Dalam Tesla Milik Penyanyi Popular"