KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AYSENUR DAN IKBAL

Pada 4 Oktober 2024, Istanbul digemparkan dengan satu kejadian pembunuhan ngeri yang melibatkan dua remaja perempuan iaitu Aysenur Halil dan Ikbal Uzuner, masing-masing berusia 19 tahun. Aysenur ditemui mati di kediaman Semih Celik, seorang lelaki berusia 19 tahun yang sebelum ini merupakan rakan sekelasnya. Kejadian berlaku dengan cara yang amat kejam apabila Semih membunuh Ayşenur dengan memenggal kepalanya.
Lebih kurang dari setengah jam selepas membunuh Aysenur, Semih bertemu pula dengan Ikbal Uzuner, seorang rakan Ayşenur di kawasan Fatih, Istanbul. Dalam keadaan yang lebih mengerikan, Semih membunuh Ikbal menerusi cara yang sama dengan memenggal kepalanya di hadapan ibunya. Mayat İkbal kemudiannya dibuang dari tembok kota lama Konstantinopel. Selepas melakukan kedua-dua pembunuhan ini, Semih mengakhiri hidupnya.

Difahamkan Semih mempunyai sejarah masalah kesihatan mental yang serius. Sepanjang tahun 2024, dia lima kali dimasukkan ke hospital psikiatri kerana gangguan psikologi selain pernah hilang dua kali dan pernah mencuba untuk membunuh diri. Walaupun mempunyai rekod masalah mental, Semih tidak pernah didakwa atas sebarang jenayah sebelum ini. Penyelidikan lanjut menemui beberapa bukti yang menunjukkan obsesi terhadap kekerasan yakni gambar karikatur tubuh İkbal yang telah dipotong, beberapa objek berkaitan simbol Kristian dan satanisme serta catatan yang menunjukkan pemikiran obsesif terhadap mangsa.
Motif tindakan Semih dikaitkan dengan gangguan mental dan obsesi terhadap kekerasan, bukan kerana motivasi kewangan atau dendam peribadi. Kedua-dua mangsa adalah rakan kenalannya dan tiada bukti wujud konflik peribadi antara Semih dan mereka. Pihak penyiasat menekankan bahawa tindakan Semih kemungkinan didorong oleh pemikiran ganas dan fantasi obsesif berkaitan gangguan psikologi yang dialaminya sekali gus menjadikan perbuatan ini sebagai tragedi psikologi yang serius.

Fakta tambahan menunjukkan bahawa Semih menunjukkan perilaku aneh sebelum kejadian. Beberapa saksi melaporkan dia pernah bercakap tentang kematian serta simbol-simbol keagamaan yang pelik dan minat yang melampau terhadap cerita-cerita kejam di internet. Penyelidikan polis juga mengesan bahawa Semih sering mengunjungi laman web yang memuatkan kandungan kekerasan dan satanisme. Kesemua faktor ini dipercayai menyumbang kepada tindakannya yang tidak terkawal.
Kedua-dua mangsa telah dikebumikan pada 5 Oktober 2024. Aysenur dikebumikan selepas solat jenazah di Masjid Pazarici Sadet manakala Ikbal pula dikebumikan selepas solat jenazah di Masjid Fatih. Semih Celik dikebumikan di Pemakaman Kilyos dengan hanya beberapa orang hadir bagi menjaga keselamatan dan mengelakkan gangguan daripada masyarakat. Kejadian ini mencetuskan protes besar di Turki dengan rakyat menuntut perlindungan yang lebih berkesan terhadap wanita dan penanganan serius terhadap isu kesihatan mental.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AYSENUR DAN IKBAL"