Kisah Wang Quanzhang: Peguam Hak Asasi yang Ditekan Secara Berterusan

Wang Quanzhang ialah seorang peguam hak asasi manusia di China yang dikenali kerana membela kes-kes sensitif berkaitan kebebasan beragama, hak tanah serta individu yang dituduh mengkritik kerajaan. Sejak awal kerjayanya, dia mengambil risiko besar dengan mewakili golongan yang sering ditindas oleh pihak berkuasa. Tindakan ini menyebabkan Wang menjadi sasaran dalam operasi besar-besaran terhadap komuniti peguam pada tahun 2015 yang dikenali sebagai Penindasan 709.
Pada Julai 2015, Wang ditahan tanpa notis yang jelas. Sejak saat itu, beliau terus hilang dari pengetahuan umum selama lebih daripada tiga tahun. Selama tempoh itu, keluarganya tidak dibenarkan berhubung, malah peguam pilihan mereka juga tidak diberikan akses. Isterinya iaitu Li Wenzu telah melancarkan kempen awam untuk menuntut penjelasan tentang nasib suaminya. Namun desakan itu dibalas dengan pelbagai bentuk gangguan seperti telefon bimbitnya dipantau, diawasi setiap hari selain dilarang keluar dari rumah.
Pada 2018, barulah pihak berkuasa China secara rasmi mendakwa Wang atas tuduhan subversif terhadap kuasa negara, satu pertuduhan politik yang sering digunakan untuk menekan aktivis. Perbicaraan berlangsung dalam keadaan tertutup dan penuh kawalan tanpa liputan bebas daripada media antarabangsa. Pada Januari 2019, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun setengah terhadap Wang. Sepanjang proses itu, laporan menyebut dia berkemungkinan mengalami penderaan fizikal dan tekanan mental yang berpanjangan.
Selepas menjalani hukuman, Wang dibebaskan pada April 2020. Namun kebebasan yang dinantikan itu tidak benar-benar bermakna. Sejurus pulang ke rumah, Wang dan keluarganya mendapati hidup mereka masih dalam kawalan ketat. Rumah mereka sering dikelilingi lelaki asing yang tidak memperkenalkan diri, dipercayai anggota polis berpakaian biasa. Ada yang menunggu di dalam kereta selama berjam-jam, ada pula yang berjalan di sekitar bangunan dengan tujuan jelas untuk menunjukkan kehadiran mereka.

Setiap kali Wang keluar rumah, dia akan diekori rapat oleh beberapa orang lelaki. Mereka mengikutinya ke kedai, ke jalan raya atau ke mana sahaja dia pergi. Walaupun tidak melakukan sebarang interaksi, kehadiran mereka menimbulkan tekanan psikologi yang mendalam. Wang berasa seolah-olah masih berada di dalam penjara cuma kali ini dinding besinya tidak kelihatan.
Li Wenzu juga tidak terkecuali. Sebagai isteri yang lantang memperjuangkan pembebasan Wang, dia turut menjadi sasaran. Telefon dan aktivitinya dipantau, pergerakan keluarganya sering dihadkan dan kadang kala jiran tetangga melihat lelaki asing berkawal di kawasan rumah mereka.
Lebih menyedihkan yakni selepas pembebasan Wang, keluarga mereka dipaksa hidup berpindah-randah kerana tekanan pihak berkuasa yang tidak membenarkan mereka menetap di satu tempat terlalu lama. Mereka terpaksa menyewa rumah demi rumah sehinggakan jumlahnya mencecah lebih daripada 13 buah rumah sewa dalam tempoh singkat. Setiap kali mereka berpindah, pihak berkuasa tetap menjejaki dan menghantar individu untuk memantau mereka.
Kehidupan selepas pembebasan akhirnya menjadi satu bentuk tahanan rumah tidak rasmi. Wang tidak dapat menjalani kerjaya guamannya seperti dahulu kerana dilarang berpraktis dan setiap usahanya untuk bersuara akan dipantau serta dihalang. Dia hidup dalam dilema di mana dirinya bebas secara fizikal tetapi masih terikat dengan pengawasan berterusan.


Catat Ulasan for "Kisah Wang Quanzhang: Peguam Hak Asasi yang Ditekan Secara Berterusan "