Kisah Pembunuhan Kejam Pasangan Usahawan Restoran di Nasu, Jepun

Kes pembunuhan kejam yang menggemparkan negara Jepun ini bermula pada pagi 16 April 2024 apabila beberapa orang petugas hutan yang sedang melakukan rondaan rutin di kawasan pergunungan Nasu, Wilayah Tochigi terhidu bau hangit yang sangat kuat. Setelah menjejaki punca bau tersebut, mereka menemui satu pemandangan yang amat ngeri di tebing sungai di mana dua jasad manusia ditemui dalam keadaan rentung terbakar dengan kedudukan kaki yang bersilang seolah-olah membentuk simbol salib. Apa yang lebih menyayat hati, kepala mangsa dibungkus dengan beg plastik dan dililit kemas menggunakan pita pelekat bagi memastikan identiti mereka sukar dikesan.
Hasil siasatan forensik dan padanan DNA kemudiannya mengesahkan bahawa mangsa merupakan sepasang suami isteri usahawan yang berjaya di Tokyo iaitu Ryutaro Takarajima (55 tahun) dan isterinya, Sachiko Takarajima (56 tahun). Pasangan ini merupakan pemilik kepada rangkaian 14 buah restoran daging panggang di kawasan tumpuan pelancong, Ueno. Walaupun berjaya dalam perniagaan, pasangan ini dikatakan mempunyai ramai musuh kerana cara pengurusan perniagaan mereka yang agresif, sering bertengkar dengan peniaga jiran serta sikap mereka yang panas baran terhadap pekerja sendiri.

Siasatan pihak polis melalui rakaman litar tertutup (CCTV) mendedahkan bahawa pada malam sebelum kejadian, pasangan ini telah diperdaya untuk pergi ke sebuah rumah kedai kosong di Shinagawa atas alasan mahu melihat hartanah baharu untuk disewa. Mereka dibawa oleh seorang ejen hartanah bernama Maeda Rio. Walau bagaimanapun, rumah kedai tersebut sebenarnya adalah lokasi perangkap yang telah disediakan. Di dalam garaj ruko yang gelap itu, dua orang pembunuh upahan bernama Kirato Wakayama dan Jiang Guangji sudah sedia menunggu dengan senjata tukul besi. Sebaik sahaja pasangan itu melangkah masuk, mereka dipukul di bahagian kepala dan dijerut lehernya sehingga mati sebelum mayat mereka dibawa lari sejauh tiga jam perjalanan ke kawasan pergunungan untuk dibakar.

Apa yang paling mengejutkan dalam kes adalah penglibatan Kirato Wakayama, salah seorang pembunuh upahan dalam kes ini. Dia merupakan seorang bekas pelakon kanak-kanak terkenal yang pernah membintangi drama sejarah popular (Taiga drama) terbitan NHK. Wakayama yang dahulunya dikenali sebagai bintang berbakat didapati telah terlibat dalam kancah jenayah selepas meninggalkan dunia lakonan. Dia dan rakannya dibayar jutaan Yen melalui beberapa lapisan orang tengah untuk melaksanakan pembunuhan kejam ini.
Kemuncak plot twist kes ini terbongkar apabila polis mengenal pasti dalang utama di sebalik pembunuhan ini iaitu Sekine Masahata (32 tahun) yang merupakan menantu kepada mangsa sendiri. Sekine yang juga menguruskan beberapa cawangan restoran milik mertuanya mendakwa dia menyimpan dendam yang mendalam kerana sering dihina dan dilayan seperti hamba oleh pasangan tersebut. Dia merancang pembunuhan ini dengan harapan dapat mengambil alih empayar perniagaan mentuanya. Lebih memilukan, anak sulung mangsa, Manami Takarajimanturut ditangkap kerana didapati mengetahui rancangan suaminya namun memilih untuk mendiamkan diri demi kepentingan perniagaan.

Hingga kini, kesemua tujuh suspek yang terlibat, termasuk dalang, orang tengah dan pembunuh upahan sedang menghadapi proses perbicaraan di mahkamah Jepun. Disebabjan sifat pembunuhan yang sangat terancang serta kejam, dalang utama dan eksekutor berdepan dengan risiko hukuman mati atau penjara seumur hidup mengikut undang-undang ketat negara tersebut.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Pasangan Usahawan Restoran di Nasu, Jepun"