Tiga Sekeluarga Maut Selepas Remaja Terjun Bukit Kerana Tak Dapat iPhone

     INDIA: Satu kejadian menyayat hati meragut nyawa tiga sekeluarga di bukit Khavdya Dongar dekat Tisgaon apabila seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas terjun dari puncak bukit tersebut pada Jumaat berikutan tindakan ibu bapanya yang enggan membelikannya sebuah telefon pintar Iphone. 

     Menurut pihak polis, remaja terbabit yang dikenali sebagai Kunal Chandwade itu bertindak memanjat bukit sekitar jam 10 pagi sebelum berdiri di tepi curam selepas mengalami tekanan akibat permintaannya untuk mendapatkan peranti mahal itu ditolak keluarganya. Sebaik menyedari niat anak mereka, ibu bapanya iaitu Murlidhar dan Sangeeta bergegas ke lokasi kejadian manakala penduduk kampung, anggota polis dari balai polis MIDC Waluj serta pasukan bomba turut digerakkan untuk membantu operasi menyelamat.

     Selama hampir tiga jam, suasana tegang menyelubungi kawasan tersebut apabila ibu mangsa merayu agar anaknya kembali ke tempat selamat manakala pasukan bomba memasang jaring keselamatan di bahagian bawah walaupun menghadapi kesukaran kerana remaja itu kerap mengubah kedudukannya di tebing curam. Ketua Tisgaon, Sanjay Jadhav yang turut berada di tempat kejadian menyatakan bahawa pihak mereka cuba memujuk mangsa dengan pelbagai cara. Dia sendiri menawarkan untuk membelikannya sebuah iPhone. Kunal bagaimanapun berdegil dan menyatakan bahawa hanya ada satu penyelesaian sahaja lagi.

     Si bapa, Murlidhar kemudian cuba merapati anaknya pada minit-minit terakhir dengan harapan dapat menariknya ke tempat selamat. Namun menurut saksi yakni ketika Murlidhar cuba menghampiri dan mencapainya, Kunal menarik balik tangannya daripada dipegang hingga menyebabkan kedua-duanya hilang keseimbangan lalu terjatuh bersama ke dalam jurang (video di hujung artikel). Lebih malang apabila si ibu, Sangeeta bertindak melompat selepas melihat suami dan anaknya terjatuh menjadikan ketiga-tiga beranak itu maut dalam tempoh beberapa saat sahaja antara satu sama lain sekitar jam 1 petang. 

     Pesuruhjaya Polis Pravin Pawar dan Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Ratnakar Navale memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti urutan sebenar kejadian manakala mayat keluarga yang berasal dari kampung Dhangar Pimpalgaon di daerah Jalna itu telah dibawa pulang oleh waris selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di kawasan cerun yang sukar tersebut.



Catat Ulasan for "Tiga Sekeluarga Maut Selepas Remaja Terjun Bukit Kerana Tak Dapat iPhone"